I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday 2 June 2011

Berita Hangat!!!!


\
MUHAMMAD Safiuddin Mohd. Zahari, 19, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Gajah untuk dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka atas tuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan cara mengebumikannya, di Alor Gajah, Melaka, 18 

MELAKA 17 Mei Bagaikan bermusim, gejala buang bayi kini seperti tiada penghujungnya.Ada yang dihanyutkan ke sungai, dibakar, disumbat ke dalam lubang tandas, dibuang ke longkang dan dicampak ke tempat pembuangan sampah.Semuanya ini menimbulkan persoalan bilakah episod kejam itu akan berakhir.Ketika masyarakat masih diselubungi rasa simpati, seorang lagi bayi lelaki menjadi mangsa kekejaman ibu bapanya.Yang mengejutkan, dia adalah anak kepada pasangan remaja yang baru berusia 15 dan 19 tahun.Mayat bayi itu ditanam berhampiran Sungai Melaka selepas dikatakan meninggal dunia di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini pada Rabu lalu.Difahamkan, sebaik sahaja dilahirkan, bayi yang cukup sifat itu masih hidup tetapi dipercayai meninggal dunia sebelum ditanam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian itu disedari ibu kepada remaja perempuan terbabit selepas pulang dari tempat kerjanya pada Rabu lalu.“Wanita berusia lingkungan 30-an itu terkejut apabila mendapati anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan terus membawanya ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan,” katanya di sini hari ini.Tambahnya, doktor yang membuat pemeriksaan kemudian mengesahkan remaja perempuan yang masih bersekolah itu baru sahaja melahirkan seorang bayi.“Terperanjat dengan kata-kata doktor itu, ibunya kemudian membuat laporan polis pada pukul 2.30 petang hari yang sama,” katanya.Susulan daripada itu, Mohd. Adnan memberitahu, polis menahan teman lelaki pelajar perempuan terbabit yang merupakan penuntut sebuah pusat pengajian tinggi di Terengganu.Tambahnya, hasil soal siasat terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun itu, polis pergi ke lokasi tempat mayat bayi tersebut ditanam pada pukul 4 pagi keesokan harinya.“Polis kemudian menemui mayat bayi yang ditanam sedalam 0.8 meter di tebing sebatang sungai sebelum membawanya ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.“Siasatan mendapati bayi lelaki yang cukup sifat itu masih hidup ketika dilahirkan selain terdapat beberapa kesan lebam di bahagian kepala,” katanya.Berikutan itu, polis menahan pasangan terbabit di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok.

Lagi mayat bayi ditemui

 
MAYAT bayi lelaki bertali pusat ditemui hanyut di Sungai Klang, Kampung Bukit Lancung, Puchong, semalam.


SUBANG JAYA 6 Mei Gejala buang bayi kini menjadi seolah-olah tiada kesudahan. Ketika masyarakat bimbang dan simpati, satu lagi mayat bayi baru lahir ditemui hanyut di Sungai Klang berhampiran Kampung Bukit Lancung, Puchong di sini hari ini.
Penemuan mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan berkeadaan bogel itu menyusul selang dua hari selepas kes seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di Sepang.
Mayat bayi yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan kira-kira 24 jam lalu ditemui oleh dua lelaki yang ingin memancing di sungai berkenaan pada pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, semasa turun ke sungai, dua lelaki yang juga penduduk Kampung Bukit Lancung itu ternampak satu objek mencurigakan terapung atas air.
Beliau berkata, mereka kemudian mengambil objek tersebut untuk diperiksa dan terkejut mendapati ia adalah mayat bayi lelaki.
“Dua lelaki terbabit kemudian membawa mayat itu ke tepi sungai dan membalutnya dengan kain sebelum menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.
Zainal Rashid berkata, siasatan awal mendapati bayi malang itu dilahirkan kira-kira 24 jam yang lalu kerana masih bertali pusat.
Beliau berkata, polis percaya bayi terbabit dicampakkan ke dalam sungai sebaik sahaja dilahirkan dan mayatnya dihanyutkan arus sehingga ke Kampung Bukit Lancung.
Katanya, tempat di mana bayi itu dicampak belum dapat dikenal pasti kerana Sungai Klang mengalir dari Kuala Lumpur hingga ke Klang.
“Bayi lelaki ini cukup bulan, sempurna sifat dan berkulit cerah tetapi bahagian kepalanya bengkak dipercayai akibat terlanggar benda keras semasa dihanyutkan.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang prihatin apabila mengangkat mayat bayi itu dari sungai kerana jika dibiarkan mungkin ia dihanyutkan ke tempat lain dan tidak ditemui memandangkan arus ketika itu deras,” katanya.

Ingatkan bunyi kucing, rupanya bayi menangis

 
Seorang bayi lelaki lengkap berpakaian yang ditinggalkan di sebuah pondok di Sepang, semalam.


SEPANG 4 Mei Mulanya disangkakan bunyi kucing mengiau.
Tetapi rupa-rupanya suara bayi menangis.
Itulah yang dialami Aminah Muhamad, 56, yang menemui seorang bayi lelaki di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di sini hari ini.
Dia yang sedang memotong rumput di hadapan rumahnya sebelum itu tidak dapat mengagak bunyi seperti kucing mengiau itu adalah tangisan seorang bayi.
“Disebabkan perasaan tidak puas hati, saya terus menuju ke pondok yang jaraknya hanya beberapa meter dari rumah.
“Terkejut dan menggigil saya apabila melihat seorang bayi lelaki lengkap berpakaian yang hanya diletakkan di atas sehelai kain batik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang, Asisten Supritendan Zaihairul Idrus berkata, bayi lelaki berumur sebulan itu dipercayai keturunan Melayu.
“Bayi itu ditemui pada pukul 7 pagi ini dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya.
“Dipercayai bayi malang itu ditinggalkan selama dua jam sebelum ditemui,” katanya.
Zaihairul berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Serdang.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kes pembuangan bayi boleh menghubungi IPD Sepang di talian 03-87774222.

Bekas pelajar UiTM mengaku buang bayi

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering, dekat sini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membuang bayi lebih dua tahun lalu.
Tertuduh, Zarina Sulaiman, 21, dari Kampung Felda Cherul, Kemaman, mengaku melakukan perbuatan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Yusoff Yunus.
Mengikut fakta kes, Zarina dituduh secara rahsia telah membuang mayat seorang bayi perempuan yang dilahirkan olehnya sama ada telah mati sebelum, semasa, atau selepas dilahirkan olehnya dan dengan sengaja telah menyembunyikan kelahiran bayi itu.
Dia dituduh melakukan melakukan perbuatan itu di Asrama Sutera UiTM Cawangan Chendering, Kubang Ikan, Chendering, dekat sini, antara pukul 11 malam dan 12 malam, 29 Jan 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan sosial tertuduh dan menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayar wang ikat jamin tersebut dan di hantar ke Penjara Pengkalan Chepa.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Insp. Marzita Subaker. – Bernama
Oleh Mohd Fadly Samsudin
HILANG akal! Itu gambaran sikap melampau remaja yang terjerumus dalam aktiviti seks luar nikah sehingga ‘bunting’ anak haram lalu membuang atau membunuh zuriat itu tanpa berperikemanusiaan.
SIASAT...anggota polis mengeluarkan mayat bayi yang ditemui terbenam di tepi pantai
SIASAT…anggota polis mengeluarkan mayat bayi yang ditemui terbenam di tepi pantai
TIDAK BERHATI PERUT...bayi yang dibungkus dengan plastik hitam diletakkan di tempat pembuangan sampah di Taman Wahyu, Kepong.
TIDAK BERHATI PERUT…bayi yang dibungkus dengan plastik hitam diletakkan di tempat pembuangan sampah di Taman Wahyu, Kepong.
Kes pembuangan bayi kian menjadi-jadi dan lebih memalukan, jenayah itu dilakukan remaja Melayu beragama Islam yang dikatakan memiliki adab serta akhlak yang tinggi. Pelik kerana hari ini masyarakat mempunyai tahap pemikiran yang baik, asas agama kuat, tinggal dalam suasana aman dan damai dan penuh ciri ketimuran. Tetapi, mengapa perkara ini masih berlaku? Jika dikaji, memang tidak dinafikan perhubungan seks bebas mendorong gejala pembuangan bayi. Apabila sudah mengandung dan bagi mengelak malu kepada keluarga, cara mudah ialah membuang atau membunuh bayi itu.
Sudahlah melakukan dosa berzina, selepas itu tergamak membunuh zuriat sendiri tanpa rasa bersalah, lebih buruk berbanding haiwan.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.” (Surah Al-Israa’ ayat 32) .
Memang benar manusia secara fitrah memerlukan seks. Justeru, Islam menggalakkan manusia berkahwin supaya hubungan yang sebelumnya haram menjadi halal.
Bayangkan wajah kudus zuriat yang dilahirkan, adakah si ibu sanggup membunuh makhluk itu sedangkan dia bersusah payah mengandung selama sembilan bulan? Bagi setiap wanita yang merasai saat melahirkan bayi, ia ibarat di persimpangan, antara hidup dan mati. Kesakitan ketika bersalin diibaratkan yang kedua tersakit selepas kesakitan Izrail datang mencabut nyawa. Sebagai manusia waras, tentu kita tidak dapat membayangkan bagaimana seorang wanita sanggup melahirkan bayi dan membuang atau membunuh bayi itu dalam masa yang sama.
Sudah terlalu kerap berita penemuan bayi yang menjadi tajuk utama media massa. Tong sampah, kubur, semak, sungai, kaki lima, lubang tandas, malah kawasan masjid juga menjadi sebahagian kawasan pembuangan bayi.
Bayi yang ditemui amat jarang sekali masih bernyawa kerana kebanyakannya sudah meninggal dunia akibat dihurung semut atau hilang anggota badannya kerana ‘dimamah’ haiwan liar.
Ada juga yang meninggalkan bayi mereka dengan menulis nota seperti ‘tolong kebumikan mayat ini.’ Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan bayi ketika ini adalah kerana mereka mahu menutup aib serta bimbang diketahui keluarga. Ke mana hilangnya sifat perikemanusiaan dalam diri masyarakat sekarang kerana bayi adalah kurniaan Allah yang tiada nilainya? Jika zaman sebelum Islam, masyarakat sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup, apa bezanya masyarakat hari ini? Perbuatan membuang dan membunuh bayi ibarat perlakuan jahiliyah moden yang tidak boleh dimaafkan.
Al-Quran dan Sunnah mengingatkan kita bahawa setiap ciptaan Allah di muka bumi ini amat berharga. Bukan saja manusia dan haiwan, malah tumbuhan pun dilarang dicabut hidup-hidup. Perbuatan segelintir mereka melakukan perkara terkutuk terbabit turut memberi impak buruk kepada umat Islam. Firman Allah dalam bermaksud: “Tidakkah patut bagi setiap mukmin dan mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain mengenai urusan mereka.” (Surah al-Ahzab ayat 36) Justeru, ibu bapa perlu memastikan pembentukan sahsiah anak menepati ciri Islam sejati. Budaya hidup bebas terutama perlu diberi perhatian serius kerana dikhuatiri ‘lesen’ berkenaan akan merencatkan pembinaan watak dalam diri anak mereka. Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Setiap suami pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya, dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab.” (Riwayat Bukhari) Manusia yang ditakrifkan sebagai jahil adalah mereka yang tiada hati dan akal fikiran. Mereka tidak berpijak di bumi nyata sehingga berani melakukan sesuatu di luar pertimbangan. Tiada guna jika mereka hanya malu kepada masyarakat, tetapi bukan kepada Allah s.w.t. Remaja perlu segera insaf dan sedar bahawa hidup pada zaman remaja hanya seketika. Maka mereka perlu bijak memilih jalan kehidupan yang sempurna. Pensyarah Jabatan Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata tanda manusia hari ini kembali semula ke zaman jahiliah bukan bermakna mereka tidak berilmu, tetapi kerana nilai kemanusiaan sudah hilang.
“Perbuatan membunuh anak mengatasi nilai hidup kebinatangan. Binatang mungkin membunuh anak mereka ketika dilahirkan, tetapi kebanyakannya atas faktor survival (dijadikan makanan).
“Naluri keibubapaan tetap menganggap perbuatan berkenaan salah. Perbuatan itu tetap tidak dapat menghapuskan kesalahan yang mereka lakukan,” katanya.
Beliau berkata, Islam amat menekankan aspek pencegahan dan sebab itu Allah melarang mendekati apatah lagi melakukan zina.
“Zina adalah dosa besar. Ia merosakkan sistem keturunan manusia kerana jika sudah terlanjur pasti membawa kepada mengandung anak luar nikah.
“Sebenarnya tiada alasan mereka membunuh dan membuang anak yang tidak berdosa berkenaan,” katanya.
Menurutnya, manusia hilang nilai kemanusiaan kerana mereka hidup bertuhankan nafsu. “Imam al-Ghazali menjelaskan kedudukan manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat jika akal mereka boleh menundukkan nafsu, tetapi mereka akan menjadi lebih teruk daripada binatang jika hidup bertunjangkan nafsu,” katanya.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-A’araf ayat 179)

Mayat bayi ditemui dalam longkang

KUCHING 6 Mac – Selepas isu pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak menghiasi dada-dada akhbar dan kaca televisyen baru-baru ini, kini muncul lagi kes yang sama.
Mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam sebatang longkang dalam keadaan menyedihkan kerana masih mempunyai tali pusat serta kesan darah pada badannya.
Bayi malang itu ditemui pada pukul 2.45 petang di kawasan berdekatan Pasar Stutong di sini oleh dua kanak-kanak berusia 13 tahun yang kebetulan bermain di situ.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu bergegas ke tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati, bayi terbabit dipercayai dibuang dan meninggal dunia pagi ini.
“Ketika ditemui, keadaan bayi itu masih mempunyai tali pusat serta ada kesan darah. Ia dibalut dengan sehelai kain tuala,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kock Keong berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Jurujual wanita ditahan disyaki buang bayi

SEGAMAT 1 Mac Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang hampir reput dalam tandas sebuah pusat latihan memandu di Jalan Lapangan Terbang di sini baru-baru ini.
Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu ditahan di rumahnya di Taman Segamat Baru pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Majid Md. Ali berkata, wanita itu ditahan kurang 24 jam selepas polis mendapat maklumat mengenai penemuan mayat bayi tersebut.
Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
“Jika didapati bersalah, mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Rabu lalu, seorang kakitangan di sebuah pusat latihan memandu gempar apabila menemui bungkusan berbau busuk yang ditinggalkan di dalam tandas wanita.
Bungkusan plastik yang ditemui dalam sebuah tangki air tandas itu kemudian diperiksa oleh pihak polis sebelum disahkan sebagai mayat seorang bayi.
Pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital mengesahkan jantina bayi itu adalah lelaki, dipercayai dilahirkan kira-kira dua hingga lima hari sebelum mayatnya ditemui.
ARKIB : 23/02/2010

Banyakkan Rumah Perlindungan

Apakah hak perlindungan dari segi kelahiran bayi menurut undang-undang ke atas ibu yang hamil di luar nikah ini?NOOR AZIAH: Sebenarnya semua wanita sama ada yang berkahwin atau pun tidak berhak kepada penjagaan semasa mengandung dan melahirkan anak. Penjagaan mengikut piawaian antarabangsa kerana kita sebahagian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).Kita juga menandatangani konvensyen berkaitan Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) di mana artikel 12 menjelaskan bahawa:1) Negara yang menjadi ahli kepada konvensyen hendaklah membuat cara sesuai untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam hal kesihatan untuk memastikan, dan berasaskan kesamarataan di antara lelaki dan wanita, mendapat akses kepada penjagaan kesihatan, termasuk perancangan keluarga;2) Apa pun yang dinyatakan oleh para (1), negara ahli hendaklah memastikan setiap wanita mendapat perkhidmatan kesihatan berhubung dengan kehamilan, semasa berpantang dan selepas melahirkan anak, memastikan semua perkhidmatan adalah percuma di mana-mana yang perlu serta pemakanan yang berkhasiat semasa mengandung dan menyusukan anak.Jika dilihat dari konvensyen ini, Malaysia terikat dengan artikel 12 kerana kita telah menandatangani dan meratifikasi CEDAW. Maka setiap wanita mempunyai hak mendapatkan perkhidmatan kesihatan semasa mengandung, semasa melahirkan anak dan semasa menyusukan anak.Perlindungan yang mereka berhak perolehi adalah hak perkhidmatan kesihatan. Oleh yang demikian, tanpa mendiskriminasi, semua wanita yang hamil berhak kepada perlindungan ini dan hospital di Malaysia mesti atau wajib memberikan mereka perkhidmatan tersebut.Jika yang hamil luar nikah, Akta Kanak-kanak 2001 membuat peruntukan perlindungan bagi gadis yang mengandung luar nikah di mana seksyen 41(2)(d) membenarkan kanak-kanak perempuan berumur bawah 18 tahun yang mengandung luar nikah ditempatkan di tempat selamat di atas permohonannya sendiri untuk ditempatkan sedemikian.Dua peruntukan ini memberi perlindungan perundangan kepada ibu yang mengandung tanpa nikah terutama jika ibu tersebut masih kanak-kanak.Di hospital atau di rumah perlindungan, tentu mereka mendapat jagaan yang rapi untuk membolehkannya melahirkan anak dengan selamat dan semasa mengandung mendapat jagaan yang rapi termasuk makanan berkhasiat.Bagi gadis di bawah 16 tahun, kehamilannya adalah disebabkan rogol (kesalahan jenayah mandatori – mengadakan hubungan seks dengan gadis di bawah 16 tahun) dan pelaku boleh dihukum penjara dan rotan.Bagi wanita Islam, jika kehamilan tidak disebabkan rogol malahan kerana perzinaan secara suka sama suka, maka ia adalah suatu kesalahan jenayah syariah jika didakwa dan disabitkan.Pasangan yang berzina boleh dipenjara sehingga 3 tahun, atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya. Jika wanita tersebut sedang hamil, hukuman boleh ditangguhkan sehingga beliau melahirkan anaknya.Apakah punca sebenar kes-kes begini berdasarkan kajian?NOOR AZIAH: Saya baru selesai menjalankan kajian yang bertajuk ‘Hak Anak Tak Sah Taraf di Malaysia’. Kajian ini saya buat bersama tiga rakan yang lain iaitu Dr. Che Norlia Mustafa, Mohd Al Adib Samuri dan Hafilah Musa.Dalam kajian, saya menemu bual 58 responden yang hamil luar nikah dari sebuah rumah perlindungan. Apabila ditanya kenapa mereka mengandung luar nikah mereka menjawab sedemikian:Alasan / Punca Kejadian dan Kelahiran Anak Tidak Sah Taraf



  • Suka sama suka (23 kes)


  • Terlalu percayakan lelaki sebagai kekasih (8 kes)


  • Suka bebas/terlalu bebas (6 kes)


  • Ingin mencuba seks (3 kes)


  • Kurang didikan agama (2 kes)


  • Dirogol (11 kes)

  • Pengaruh kawan-kawan (7 kes)


  • Sebab-sebab lain seperti tekanan keluarga, diabai ibu bapa, jika mengandung ibu bapa akan bagi kahwin dan lain-lain.Bagaimana mengambil jalan tengah antara membantu ibu yang hamil luar nikah dengan hukuman?NOOR AZIAH: Sebenarnya tiada jalan tengah dalam isu mengandung luar nikah. Kita semua manusia yang dijadikan Allah sebagai hambanya. Kita semua ada peranan masing-masing dalam kehidupan seharian kita di dunia ini.Dunia kita hari ini telah terlalu moden dan mendidik anak di dunia yang serba moden dan tanpa sempadan ini bukanlah suatu perkara yang mudah.Perlakuan seks bebas di kalangan remaja kita semakin menjadi-jadi. Ini bukan soal tiada didikan agama atau ibu bapa kurang peka. Godaan amat besar dan anak-anak kita teruja minda, emosi dan iman.Bagi kanak-kanak perempuan, jika hamil luar nikah, mereka tidak ditangkap. Mereka diberi perlindungan jika berumur bawah 18 tahun. Bagi yang atas 18 tahun, biasanya juga tidak ditangkap kecuali selepas melahirkan anak, mereka tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak kerana tiada surat nikah.Mereka boleh mendaftarkan kelahiran anak dan memberi anak nama tapi anak tak ada nama ayah. Itupun setahu saya Jabatan Pendaftaran Negara tak pernah lapor kepada pejabat agama pun. Biasanya tindakan pendakwa syarie akan dibuat berasaskan siasatan dan aduan.Sebenarnya menjadi kewajipan semua orang Islam menghalang kemungkaran berlaku. Dalam kes ini ia telah berlaku. Yang perlu ialah pesalah menjalani hukuman dunia terhadap kesalahannya.Sebagai orang Islam, dia mesti tahu bahawa berzina itu berdosa besar dan mesti dihukum. Jika tiada tindakan diambil, maka yang melakukan kesalahan tidak akan merasa berdosa dan bersalah. Salah tetap salah.Tetapi anak luar nikah yang dilahirkan itu tidak bersalah. Maka jika ibunya tidak berkemampuan maka kerabatnya berkewajipan melindungi anak tersebut dan jika tiada, maka kerajaanlah bertanggungjawab terhadapnya.Sebagai langkah pertama, ibu yang mengandung luar nikah hendaklah dipastikan sebab dia mengandung luar nikah. Jika sah kerana zina, dia mesti menjalankan hukuman selepas melahirkan anaknya.Dia juga perlu dibantu untuk boleh hidup berdikari selepas menjalani hukuman. Hukuman itu pula mesti memberi kesan kekesalan, keinsafan dan bukan rasa benci terhadap agama atau penghukumnya.Masyarakat kita umumnya sukar memberi sokongan kepada mangsa terlibat. Adakah ini turut menyumbang kepada peningkatan kes membuang bayi?NOOR AZIAH: Masyarakat kita masyarakat yang berpegang kepada adat dan agama. Namun dalam masa yang sama kita lebih senang menghukum dari membantu mangsa.Kata orang “berat mata memandang, lebih berat bahu memikul”. Tiada seorang wanita pun mahu mengandung luar nikah jika diberi pilihan. Semuanya berlaku di atas kehendak Allah dan kita mesti melihatnya sebagai pengajaran dan perlu diambil iktibar.Malangnya kita manusia yang sangat lemah. Apabila kejadian seperti ini berlaku, kita tuding jari, cari salah siapa. Dah berlaku, semua orang salah… ibu bapa salah, masyarakat salah…pemimpin salah, semua salah…Jangan cari salah.Cari macam mana nak hindar dan baiki keadaan. Sebab itu apabila tahu saja mengandung, anak gadis panik. Lari dari rumah, cuba gugurkan dan akhirnya jika semua ikhtiar gagal, mereka buang bayi.Fikiran mereka buntu dan mereka tiada siapa nak mengadu. Semua salahkan mereka, mereka juga malu. Saya yakin memang sikap kita secara tak langsung menyumbang kepada pembuangan bayi.Bagi yang tidak kena batang hidung, mereka tidak melihat perlunya diwujudkan rumah persinggahan untuk golongan ibu hamil di luar nikah ini. Kata mereka, ia hanya akan mendorong lebih banyak kes sedemikian. Benarkah NOOR AZIAH: Rumah Perlindungan atau Persinggahan untuk ibu yang hamil sangat perlu kerana ia boleh mengurangkan jumlah pembuang bayi. Tapi ia mestilah tanpa syarat dan no question ask?Kita bukan nak galakkan mereka berzina. Itu anggapan yang biasa dibuat masyarakat umum. Itu anggapan salah. Rumah ini boleh menyelamatkan nyawa ibu dan anak.Kita boleh beri peluang untuk anak tak sah taraf hidup normal sebagai anak angkat. Ibu yang terlanjur boleh diberi peluang kedua membaiki hidupnya dan memulakan kehidupan yang baru. Mesti ada modul yang sesuai untuk memperbaiki diri dan sahsiah mereka.Kehamilan tidak akan berlaku tanpa penglibatan lelaki. Apa pula tindakan yang perlu diambil ke atas lelaki terlibat.NOOR AZIAH: Kata orang Inggeris, It takes two to tango. Yang malangnya, wanita membawa bukti yang jelas. Kita ada teknologi.Kita boleh buat DNA pada anak dan pada lelaki yang dikatakan menyebabkan seseorang wanita itu hamil. Kita hadapkan kedua-duanya ke mahkamah, jika Islam, lelaki mesti menjalani hukuman juga.Satu lagi ialah mereka patut diperintahkan membayar nafkah anak tak sah taraf tersebut bukan kerana nasab tetapi sebagai hukuman. Itu lebih berkesan kerana mereka akan lebih berhati-hati di masa akan datang.Saya pernah cadang dulu lelaki membayar diat (denda) kepada wanita yang dihamilkannya itu. Dia juga perlu membayar pampasan kepada anak biologinya.